Pages

Wednesday, August 12, 2009

TAHNIAH QARIAH MALAYSIA


KUALA LUMPUR: Qari Iraq, Usamah Abdullah dan qariah Malaysia, Sharifah Khasif Fadzillah Syed Badiuzzaman, menjuarai kategori masing-masing pada Tilawah al-Quran Peringkat Antarabangsa ke-51 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, malam tadi.

Johan qari dan qariah berkenaan masing-masing menerima hadiah wang tunai RM14,339, piala, cenderamata dan sijil penyertaan yang disampaikan Timbalan Yang di-Pertuan Agong yang juga Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu’’adzam Shah dan Sultanah Kedah Sultanah Haminah Hamidun.

Johan qari memperoleh 91.96 peratus manakala juara qariah mendapat 94.75 peratus.

Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Baharom dan Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Naib johan qari dimenangi wakil Indonesia, Jafar Hadi Fardi Aghchay dengan pungutan markah 91.92 peratus dan qariah Natipa Manasia dari Thailand yang mendapat mata 88.46 peratus, yang masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai RM10,754 setiap seorang, cenderamata dan sijil penyertaan.

Dengan pungutan markah 91.97 peratus, qari Azhar Darma Djunaidi yang juga dari Indonesia dan 88.46 peratus, qariah dari Brunei, Dayang Nurul Akmalina Yahya berjaya meraih tempat ketiga sekali gus melayakkan mereka membawa pulang wang tunai RM7,169 setiap seorang, cenderamata dan sijil penyertaan.

Peserta lain menerima hadiah saguhati iaitu RM3,584 setiap seorang, cenderamata serta sijil penyertaan.

Majlis tilawah yang bertemakan `Wahdah Pemangkin Khaira Ummah’ itu yang bermula Rabu lalu menyaksikan penyertaan seramai 66 peserta iaitu 42 qari dan 24 qariah dari 43 negara.

Sementara itu, johan qariah Sharifah Khasif Fadzillah, 27, berkata beliau berhasrat untuk berehat seketika daripada menyertai pertandingan tilawah selepas impiannya untuk menjuarai tilawah al-Quran peringkat kebangsaan tercapai sebelum memasuki usia 30 tahun.

“Saya ingin berehat buat seketika dan mungkin ingin memberi peluang kepada generasi pelapis pula. Insya-Allah pada masa akan datang, kalau ada rezeki saya sertai lagi,” katanya yang berhasrat untuk mengadakan majlis kesyukuran untuk gurunya.

Tilawah al-Quran peringkat antarabangsa kali pertama pada 9 Mac 1961 selepas negara menganjurkan musabaqah al-Quran peringkat kebangsaan kali pertama pada Mei 1960. — Bernama

Harian Metro>

No comments:

KAMUS ARAB