Pages

Monday, September 14, 2009

Adakah anda telah membayar ZAKAT FITRAH?

Ramadhan kian jauh, Syawal kian dekat. tapi cuba kita semak balik adakah kita telah menunaikan kewajipan kita sebagai umat islam? adakah kita telah menjelaskan ZAKAT FITRAH pada tahun ini? Ramadhan masih lagi berbaki 4 hari, janganlah sehingga pagi Syawal baru kita berebut-rebut jumpa Amil Zakat untuk menjelaskannya. Kadang-kadang saya kesian pada Amil-amil yang di tempatkan pada sesetengah tempat di temgah bandaraya seperti di tepi Pertama Complex, Jusco dan beberapa tempat. sampaikan amil tersebut mengantuk menunggu pembayar zakat. tapi mereka akan jadi sangat popular pada pagi raya sebelum solat sunat... Ya Allah, Allah tak suka akan hambanya yang menangguhkan kerja.

PENGERTIAN ZAKAT FITRAH

Zakat Fitrah ialah zakat diri yang difardhukan ke atas setiap individu lelaki dan perempuan muslim yang berkemampuan dengan syarat-syarat yang ditetapkan.


SYARAT WAJIB ZAKAT

Orang Islam yang wajib mengeluarkan zakat fitrah untuk diri dan keluarga atau tanggungannya ialah:

  1. Individu yang mempunyai lebihan makanan atau hartanya dari keperluan tanggungannya pada malam dan pagi hari raya.
  2. Anak yang lahir sebelum matahari jatuh pada akhir bulan Ramadhan dan hidup selepas terbenam matahari.
  3. Memeluk Islam sebelum terbenam matahari pada akhir bulan Ramadhan dan berkekalan Islamnya.
  4. Seseorang yang meninggal selepas terbenam matahari akhir Ramadhan.

Ada 2 jenis zakat iaitu:

  • Zakat Fitrah

  • Zakat Harta

Jenis-jenis harta yang dikenakan zakat adalah seperti berikut:

  • Zakat Emas dan Perak

  • Zakat Perniagaan

  • Zakat Binatang Ternakan

  • Zakat Pertanian

  • Zakat Wang

  • Zakat Ma'adin, Kunuz dan Rikaz *

  • Zakat Saham

  • Zakat Pendapatan

***

Ma'adin


Ialah segala galian yang diperolehi dari perut bumi sama ada beku atau cair di darat atau di laut.

Kunuz


Ialah harta yang tersimpan di dalam bumi (harta karun).

Rikaz


Ialah harta benda yang tersimpan di dalam bumi dan terdapat tanda-tanda yang menunjukkan ia tersimpan sebelum kedatangan Islam. (Jumhur ulama mengatakan semua jenis simpanan jahiliah)


Zakat akan diagihkan kepada beberapa asnaf. Asnaf-asnaf tersebut ialah:

  • ASNAF FAKIR - Fakir ialah orang Islam yang tidak mempunyai harta hasil usaha (pekerjaan) yang halal dan layak dengannya untuk memenuhi keperluan dirinya dan tanggungannya termasuklah makanan, pakaian, tempat tinggal dan keperluan-keperluan lain.

  • ASNAF MISKIN - Miskin ialah orang Islam yang mempunyai harta dan hasil usaha (pekerjaan) yang halal dan layak dengannya tetapi masih tidak mencukupi untuk menanggung keperluan dirinya dan tanggungannya.

  • ASNAF AMIL - Orang yang dilantik / ditauliahkan oleh Sultan atau Naibnya untuk penyelenggaraan hal-hal zakat.

  • ASNAF MUALLAF - Orang yang baru memeluk Islam iaitu "orang yang dijinakkan hatinya" dengan diberi bantuan supaya mereka teguh mencintai Islam.

  • ASNAF RIQAB - Iaitu hamba mukatab yang ingin memerdekakan dirinya.

  • ASNAF GHARIMIN - Orang Islam yang berhutang untuk memenuhi keperluan asasi bagi permasalahan diri atau keluarga tanggungannya atau orang yang berhutang untuk menyelesaikan masalah masyarakat dan memerlukan :

    1. Orang yang berhutang itu tidak mampu menjelaskan hutangnya.

    2. Hutang itu hendaklah dalam perkara taat yang diharuskan syarak.

    3. Hutang telah sampai tempoh untuk dijelaskan.

  • ASNAF FISABILILLAH - Fisabililah ialah tiap-tiap perbuatan / perkara yang menjurus kepada keperluan dan masalah untukmenegakkan syiar Islam.

  • ASNAF IBNI SABIL - Orang Islam yang kehabisan perbelanjaan dalam perjalanan atau orang yang hendak memulakan perjalanan sedangkan ia tidak mempunyai belanja dengan syarat:

    1. Ia mengembara dari negeri tempat tinggalnya.

    2. Pengembaraan diharuskan oleh syarak.

Pendapatan bermaksud perolehan yang merangkumi pendapatan gaji dan pendapatan bebas seperti pendapatan ahli profesional. Walau bagaimanapun perolehan hasil harta yang tidak mempunyai struktur zakatnya tersendiri dan juga sumbangan daripada mana-mana pihak jua sekalipun adalah juga diserapkan dalam perbincangan ini. Kesemuanya ini dibincangkan sekaligus kerana persamaan asasnya yang menjadikan hukum bagi kesemuanya adalah sama.

Pengertian gaji ialah pendapatan pengajian seseorang yang merupakan ganjaran perkhidmatannya dengan sesuatu majikan atau orang perseorangan atau syarikat atau institusi. Contoh:

  • Gaji tahunan

  • Tunggakan gaji

  • Pelbagai elaun (kenderaan, makan, mesyuarat)

  • Lain-lain (termasuk bonus atau sesuatu yang boleh dikira sebagai pendapatan yang berkaitan dengan penggajian.

Pendapatan bebas ialah pendapatan seseorang melalui sesuatu kerja atau usaha kepakaran atau perkhidmatan yang merupakan ganjaran daripada khidmatnya. Contoh:

  • Khidmat guaman

  • Khidmat nasihat

  • Juru perunding

  • Rawatan perubatan

  • Kejuruteraan

  • Seniman

  • Lain-lain

::Dalil Wajib Zakat::

Firman Allah s.w.t:

"Wahai orang-orang yang beriman, keluarkan zakat sebahagian daripada hasil usaha kamu yang baik-baik dan sebahagian dari apa yang kami keluarkan dari bumi untuk kamu."

Surah al-Baqarah (ayat 267)

Allah menjelaskan bahawa segala 'hasil usaha yang baik' itu wajib dizakat. Oleh itu, bagi sesiapa yang menjadikan makan gaji itu sebagai satu profesion, maka itu juga termasuk dalam 'hasil usaha' yang wajib dizakat.

Sabda Rasulullah s.a.w:

"Menjadi sesuatu kewajipan ke atas setiap Muslim bersedekah (zakat)". Mereka bertanya, "Wahai Rasullullah, bagaimana yang tidak mempunyai harta?". Baginda menjawab, "Bekerja untuk mendapat sesuatu untuk dirinya lalu bersedekah." Mereka bertanya, " Kalau tidak mempunyai pekerjaan?". Baginda bersabda, "Tolonglah mereka yang meminta pertolongan". Mereka bertanya lagi, "Bagaimana pula jika tidak berkuasa?". Baginda menjawab, "Kerja ke jalan kebaikan dan tinggalkan kejahatan, hal itu merupakan sedekah".


SYARAT WAJIB ZAKAT

1. Islam.
2. Merdeka.
3. Sempurna Milik.
4. Hasil usaha yang baik sebagai sumber zakat.
Hasil usaha tersebut termasuklah pendapatan dan pengajian yang merangkumi upah, gaji, bonus, elaun, komisen, pemberian, ganjaran profesional, hasil sewaan, perkhidmatan dan sebagainya. Pendapat para fuqaha' menyebutkan semua hal berkenaan pendapatan dan penggajian disebut sebagai 'mal mustafad' iaitu perolehan baru yang termasuk dalam takrifan sumber harta yang dikenakan zakat.
5. Cukup nisab.
Nisab bagi zakat pendapatan adalah berasaskan kepada nilai 85 gram emas harga semasa, memandangkan pendapatan biasanya diterima dalam bentuk mata wang yang disandarkan kepada emas.
6. Cukup haul.
Jangka masa setahun adalah jarak untuk mempersatukan semua hasil-hasil pendapatan untuk pengiraan zakat pendapatannya. Dalam hal ini, apa yang lebih penting ialah seharusnya zakat pendapatan ini dilihat dari segi persoalan harta perolehan atau penghasilan dan bukannya harta wang simpanan ini bersesuaian dengan tuntutan dan roh Islam terhadap kewajipan berzakat.

KAEDAH PENGIRAAN ZAKAT

Terdapat 3 garis panduan mengira zakat pendapatan

KAEDAH 1

2.5 % atas jumlah pendapatan kasar setahun (jika pendapatan tersebut melebihi nisab)

CONTOH:

Jika jumlah kasar dari sumber setahun ialah sebanyak RM33,800.00, maka zakatnya sebanyak RM33,800.00 x 2.5 % = RM845.00

KAEDAH 2

Membayar zakat setelah menolak perbelanjaan-perbelanjaan asas yang dibenakan (berlandaskan kaedah penolakan yang dibenarkan

KAEDAH 3

Membayar zakat setelah mengambil kira tanggungan sebenar.

CONTOH PENGIRAAN ZAKAT MENGIKUT KAEDAH 2 DAN 3

A. Pendapatan Dari Semua Sumber (setahun)

RM

Gaji 24,000
Elaun 5,800
Bonus 4,000
Lain-lain 5,000
JUMLAH PENDAPATAN 38,800

B. Perbelanjaan Yang Dibenarkan (setahun)

RM

Diri 8,000
Isteri 3,000
Anak-anak (1,000 x 4 orang) 4,000
Pemberian IbuBapa 2,400
Caruman KWSP 2,400
Caruman Tabung Haji 600
Caruman kepada institusi / koperasi yang telah memberi zakat bagi pihak ahli. 1,200

JUMLAH TOLAKAN

21,600

C. Pendapatan Bersih Yang Layak Dizakat (A-B) RM
RM38,800 - RM 21,600
Nilai melebihi paras nizab, (contoh: nisab bagi tahun 2000 (April) = RM 2,993.85)
17,200

D. Zakat Yang Wajib Dibayar (C x 2.5%) RM
RM17,200.00 x 2.5% 430.00

NOTA:

  1. Perbelanjaan bagi diri, isteri dan anak dalam jadual di atas adalah berdasarkan kaedah penolakkan yang dibenarkan (berdasarkan kaedah kedua).

  2. Bagaimanapun perbelanjaan bagi diri, isteri dan anak boleh diambil kira tanggungan sebenar (berdasarkan kaedah ketiga) iaitu mengambil kira perbelanjaan asasi bagi makanan, pakaian, perubatan, pengankutan, pendidikan dan tempat tinggal.

  3. Pemberian kepada ibu bapa, caruman KWSP, caruman Tabung Haji, caruman kepada institusi/koperasi yang telah membayar zakat bagi pihak ahli hendaklah berdasarkan kepada jumlah sebenar.


maklumat ini saya ambil daripada K-ZAKAT. Jika anda ada sebarang masalah sila CLICK. atau datang terus di UNIT HAL EHWAL ISLAM

Semoga Kita tak menyesali pemergian ramadhan ini dan bergembiralah pada siapa yang menafaatkan bulan ini.


No comments:

KAMUS ARAB