Pages

Sunday, November 28, 2010

MENTERI Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek bersama Dato' Zolkples mengaminkan doa di atas kejayaan Sukan Asia XVI


SEPANG - Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Zolkples Embong khuatir dengan kemungkinan dua sukan penyumbang lima pingat emas Malaysia pada Sukan Asia Guangzhou, skuasy dan boling tidak dipertandingkan dalam temasya itu di Incheon, empat tahun lagi.

"Di Incheon tugas kita mempertahankan sembilan emas yang dicapai di Guangzhou, lebih berat (bukan sahaja bagi sukan yang gagal menang emas), kerana ada desus-desas Incheon hanya mempertandingkan 28 jenis sukan, dengan tujuh sukan bukan Olimpik. Mungkin boling dan skuasy, jadi kita mungkin kehilangan lima emas.

"Walaupun keutamaan kita kepada sukan bertaraf Olimpik, kita tidak boleh abaikan sukan lain yang menunjukkan prestasi baik di peringkat antarabangsa.

"Malah bagi sukan bertaraf Olimpik sahaja di antara 18 perak Malaysia di Guangzhou, kita begitu hampir memenangi emas atau tewas tipis seperti dalam badminton, pelayaran dan ekuestrian," katanya.

Zolkples, ketua kontinjen negara ke Guangzhou yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), semalam menambah: "Program Road To London 2012, bagi sukan berpotensi pingat akan diteruskan tetapi dengan beberapa kajian semula manakala sukan lain, kita akan sasarkan bagi jangka panjang iaitu 2016 dan 2020 dan seterusnya.

"Kita kini perlu jadi selektif, tidak boleh tumpu kesemua 28 jenis sukan Olimpik, kerana bakat sukan kita terhad, tetapi mana yang tidak menyerlah di Guangzhou, bakal menjejaskan kedudukannya dalam London 2012. Namun terjun dan menembak berpotensi untuk dibantu lagi," katanya.

Jelasnya, masih terlalu awal untuk menamakan hoki dan bola sepak ke program berkenaan, biarpun kedua-dua sukan berpasukan itu menunjukkan pencapaian membanggakan, dengan meraih pingat perak dan mara ke pusingan kedua Sukan Asia Guangzhou dalam tempoh 32 tahun.

"Kalau kedua-duanya dipertimbangkan, mungkin ada sukan lain yang turut perlu dilihat. Bagi Program Road To London 2012, kita hanya tumpukan sukan yang berpotensi pingat Olimpik. Selepas ini kita kaji jika ada tanda bahawa skuad hoki negara mampu bersaing dengan negara bakal pemenang pingat, mungkin boleh.

"Bagi bola sepak, kalau mereka juara Piala Suzuki AFF (dengan sebahagian besar pemain skuad Sukan Asia), mungkin kita juga akan cuba tengok. Malah sejak menjuarai Sukan SEA, pasukan ini menunjukkan banyak peningkatan seperti mana di Guangzhou malah tanpa 10 pemain utama, masih boleh bersaing dengan pasukan handalan Asia," katanya.

Mengenai prestasi skuad sepak takraw di Guangzhou yang memanjangkan kemarau emas kepada dua dekad sehingga Incheon 2014, katanya: "Saya tidak salahkan sesiapa kerana saya juga bertanggungjawab dengan apa yang berlaku di Guangzhou.

"Kami tetap bersama PSM, cuma kita perlu fikirkan apa yang lebih baik yang boleh dilakukan untuk pasukan negara. Kalau setakat kita buat seperti sekarang dengan latihan biasa, saya tidak fikir kita tidak boleh menandingi Thailand, mereka sudah banyak tahap ke depan.

"Selain mahu mengatasi Thailand, kita harus berhati-hati agar jangan ditewaskan pasukan seperti Jepun, Korea dan China atau Myanmar yang terbukti meningkat di Guangzhou," katanya.


http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1129&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm

No comments:

KAMUS ARAB