Pages

Wednesday, February 1, 2012

Majlis Sambutan Maulidur Rasul s.a.w Tahun 2012M/1433H


Tanggal 5 Februari 2012, bersamaan dengan 12 Rabiulawwal 1433 Hijrah merupakan tarikh berlakunya ulang tahun keputeraan Rasulullah s.a.w yang mana pada tarikh inilah junjungan besar kita dilahirkan ke dunia.

Bersempena dengan tarikh ini juga, seperti kebiasaannya akan diadakan sambutan maulidur rasul dan pada kali ini ianya bakal bertemakan Persefahaman Asas Perpaduan Ummah.
Bagi yang berkelapangan, bolehlah turut serta bagi memeriahkan lagi majlis sambutan ini yang bakal diadakan di Masjid Putra, Putrajaya.
Maklumat lanjut, boleh diperolehi dengan melayari laman sesawang berikuthttp://www.islam.gov.my. Disini turut disediakan aturcara bagi program yang bakal dilangsungkan bersempena dengan sambutan Maulidur Rasul SAW Tahun 2012M/1433H.
Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Majlis Sukan Negara Malaysia 1433h / 2012 yang akan diadakan pada 17 februari 2012 bersamaan 24 Rabiulawal 1433H (Jumaat) yang akan diadakan di Dewan Komanwel, Bukit Jalil.

****
Nabi Muhammad s.a.w. telah menyatakan dan menggariskan matlamat pertama perutusan Baginda ke dunia. Baginda telah bersabda yang maksudnya
Hanyasanya saya diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang mulia
Ini bermakna, dengan cara kita mencontohi, mempelajari, dan mendalami cara hidup Baginda s.a.w, kita juga boleh memiliki akhlak dan keperibadian yang tinggi, insya Allah.
Baginda kan contoh terbaik umat manusia, dengan mencontohi keperibadian baginda, mudah-mudahan kita pun bakal menjadi contoh ikutan dan tauladan orang lain.
Dalam catatan pada kali ini, saya ingin kongsikan beberapa potong hadis yang membicarakan tentang persoalan akhlak.

Hadis 1

Daripada Usamah bin Syarik, katanya
Kami duduk di sisi Rasulullah s.a.w. Seolah-olah di atas kepala kami ada burung (kami duduk diam). Tiada seorang di kalangan kami bercakap. TIba-tiba Baginda didatangi orang, mereka bertanya: “Siapakah hamba Allah yang di kasihi Allah?” Jawab Baginda: “Mereka yang paling berakhlak mulia.”
(Riwayat ath-Thobarani)

Hadis 2

Dalam sebuah riwayat: Rasulullah s.a.w. ditanya
“Apakah perkara baik yang dianugerahkan kepada manusia?” Jawab Baginda: “Akhlak mulia.”
(Riwayat at-Tirmizi)

Hadis 3

Nabi Muhammad s.a.w bersabda
Sesungguhnya perbuatan jahat dan ungkapan keji bukanlah daripada (ajaran) Islam. Islam seseorang yang paling baik ialah mereka yang paling mulia akhlaknya.
(Riwayat at-Tirmizi)

Hadis 4

Daripada Abdullah bin Umar katanya
Saya mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: “Adakah kamu ingin jika saya beritahu siapa orang yang paling saya kasihi dan yang paling rapat dengan saya dalam majlis ketika hari kiamat?” Baginda mengulanginya dua atau tiga kali. Jawab mereka: “Ya wahai Rasulullah.”
Sabda Baginda: “Orang yang paling berakhlak mulia di kalangan kamu.
(Riwayat Ahmad)

Hadis 5

Sabda Nabi s.a.w
Tiada perkara yang paling berat dalam neraca seorang mukmin pada hari kiamat selain akhlak mulia. Sesungguhnya Allah benci kepada orang yang berperangai keji dan celupar. Sesungguhnya akhlak mulia akan menyampaikannya ke martabat orang yang berpuasa dan bersembahyang.
(Riwayat Ahmad)
****
Menjaga akhlak merupakan antara perkara yang sangat-sangat dititikberatkan oleh Rasulullah s.a.w.
Ini kerana akhlak adalah sesuatu yang terpancar atau terpamer dalam diri individu.
Contoh dia macam ni, katalah seorang hamba Allah ni dia tak jaga ibadah dia. Bila masuk waktu solat, dia tak solat. Bila tiba bulan Ramadhan, pun dia tak nak berpuasa. Bila cukup haul dan nisab, orang yang sama di jugak tak mahu bayar zakat.. semua ini hanya Allah s.w.t sahaja yang tau selagi mana dia (si hamba Allah) ni tadi tak kepoh dengan orang lain.
Berbeza pulak dengan akhlak.
Orang yang akhlaknya buruk ini, kita boleh nampak dengan jelas sebab ianya sifat luaran dan terpamer melalui perlakuan. Walaupun kita baru je jumpa si hamba Allah ni buat pertama kali, kalau dia memiliki akhlak yang buruk, time tu jugak kita dah boleh tau. Buruk bebenorbudak ni.
Memiliki akhlak yang mulia dan keimanan yang sempurna mempunyai perkaitan yang sangat rapat sebenarnya.
Pernah satu ketika, Rasulullah s.a.w ditanya
“Siapa mukmin yang memiliki iman yang paling smpurna?”
Jawab Baginda:
“Mukmin yang paling mulia akhlaknya.
(Riwayat at-Thobarani)
Oleh itu, maka rugilah orang-orang yang menjaga ibadatnya tetapi tidak berjaya menjaga akhlaknya. Begitu jugak sebaliknya. Amatlah rugi apabila seseorang itu hanya menjaga akhlaknya, tetapi gagal pulak menjaga kualiti ibadatnya.
Semoga catatan ini beri manfaat.
Wallahua’lam
********************************************************************

No comments:

KAMUS ARAB