Pages

Monday, May 21, 2012

SELAMAT DATANG BULAN REJAB 1433H


Amalan Bulan Rejab


 Sabda Nabi saw “Bulan Rejab Bulan Allah, Bulan Sya’aban bulanku & bulan Ramadhan bulan umatku“. Kemuliaan Rejab dengan malam ISRAK MIKRAJnya, Sya’aban dengan malam NISFUnya Ramadhan dengan LAILATUL-QADARnya. REJAB bulan menabur benih. SYA’ABAN bulan menyiram tanaman. RAMADHAN bulan menuai. REJAB menyucikan badannya. SYA’ABAN menyucikan hatinya. RAMADHAN menyucikan rohnya. REJAB bulan taubat. SYA’ABAN bulan muhibbah. RAMADHAN dilimpahi pahala amalan.


Dari segi bahasa : Rejab makna menghormati dan memuliakan.
Dinamakan bulan Rejab kerana orang-orang jahiliyah dahulu menghormati dan memuliakan bulan ini dengan mengharamkan peperangan dalam bulan ini.

Bulan Rejab merupakan salah satu bulan dari 12 bulan-bulan Islam dan ia merupakan salah satu dari 4 bulan ‘Haram’ didalam Islam. Dalilnya terdapat di dalam Firmah Allah swt di dalam Surah Al-Taubah ayat 9 maksudnya : “Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi (hukum) Allah ialah dua belas bulan, (yang telah ditetapkan) dalam Kitab Allah semasa Dia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan yang dihormati” . Allah swt telah mengurniakan kepada manusia 4 bulan haram. Bulan-bulan ini sebagaimana yg disepakati oleh semua ulama’ ialah Zulkaedah, Zulhijjah, Muharam dan Rejab. Umat Islam adalah diharamkan pergi berperang didalam bulan-bulan ini, kecualilah jika mereka diugut.


Bulan Rejab mengandungi peristiwa-peristiwa bersejarah kepada orang Islam di mana berlakunya peperangan Tabuk, pembebasan Al-Aqsa dari tangan tentera Salib dan juga ada orang Islam yang berpendapat bahawa bulan inilah berlakunya peristiwa Isra’ dan Mi’raj Nabi Muhammad saw.

Secara ringkasnya, Israk dan Mikraj adalah sebuah peristiwa di mana Nabi Muhammad S.A.W telah di”israk”kan (dibawa berjalan) dari Kota Mekah ke Baitul Muqaddis serta di”mikraj”kan (dibawa naik ke atas) ke Sidratul Muntaha untuk mengadap Allah S.W.T di mana Solat 5 waktu telah difardukan ke atas umat Islam melalui Rasulullah S.A.W. Semuanya berlaku di dalam satu malam sahaja. Firman Allah SWT:

“Maha Suci Allah yang telah memperjalankan hambaNya pada satu malam dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa yang telah Kami berkati sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian dari tanda-tanda kebesaran Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui” - Petikan dari Surah Al Israa ayat 1.

Kami di Baitulummah ingin mengajak pembaca dan umat Islam seluruhnya menyambut bulan ini dengan memperbaharui tekad dan ikrar. Jika sebelum ini kita mengucap Dua Kalimah Syahadah tapi hidup dengan penuh hasad, kemarahan, dendam, benci dan sebagainya, tahun ini kita mengucap Dua Kalimah Syahadah dengan penuh kecintaan kepada Allah. Sebagai hambaNya, yang benar-benar cintakanNya, marilah sama-sama kita memperbanyakkan memuji-muji Allah, amalan dan ibadah.

 oleh Kamal Arif Maz pada Jun.24, 2009, di Activities sumber artikel



No comments:

KAMUS ARAB