Terdapat banyak jenis puasa-puasa sunat yang boleh dilaksanakan seperti berpuasa sunat hari Isnin dan Khamis, puasa 10 Muharram, puasa tiga hari dalam sebulan dan puasa enam hari di bulan Syawal.
Menjadi kebiasaan kepada orang-orang Islam di Malaysia berpuasa sunat
selama enam hari di bulan Syawal selepas mereka menamatkan puasa
sebulan Ramadhan kerana meyakini ganjaran dan pahala yang akan
dikurniakan oleh Allah S.W.T.
Abu Ayyub al-Ansari ada meriwayatkan satu hadith daripada Rasulallah s.a.w. di dalam menerangkan tentang kelebihan puasa enam Syawal yang maksudnya “sesiapa yang berpuasa Ramadhan, kemudian diikutinya puasa enam hari Syawal samalah seperti dia berpuasa sepanjang tahun” ( Dikeluarkan oleh Imam Muslim di dalam sahihnya, juga dikeluarkan oleh sekalian ramai ulama hadith seperti al-Tirmizi, al-Nasaie dan Ibn. Majah ). Imam al-Syafie menjelaskan bahawa hadith ini adalah hadith sahih.
Imam al-Tabrani pula ada mengeluarkan di dalam susunan hadithnya yang
turut berkaitan dengan fadhilat puasa enam Syawal maksudnya “sesiapa
yang berpuasa Ramadhan dan diikuti kemudiannya puasa enam hari dalam
bulan Syawal, keluarlah dari dirinya segala dosa seperti hari dia
dilahirkan oleh ibunya”
Terdapat beberapa persoalan tentang perlaksanaan puasa enam Syawal
adakah terus langsung dilaksanakan selepas hari raya pertama dan dibuat
secara berturut-turut atau boleh dilakukan pada bila-bila masa sepanjang
Syawal sama ada secara berturut-turut atau sebaliknya.
Pendapat di dalam mazhab Syafie menyebut bahawa yang terlebih afdhal
di dalam perlaksanaannya ialah sejurus selepas hari raya pertama dan
dilakukan enam hari berturut-turut.
Ini tidak pula bermakna, jika seseorang itu melaksanakan secara
terputus-putus (tidak berturutan) atau dilakukan pada pertengahan atau
akhir Syawal dianggap satu kesalahan atau tidak mendapat pahala, malah
semuanya diterima Allah dan dikira sebagai satu ibadah juga.
Perlu difahami bahawa yang dimaksudkan dengan puasa sepanjang tahun
itu bukan terletak kepada puasa 6 hari Syawal dengan meninggalkan puasa
Ramadhan, tetapi kelebihan puasa setahun itu diperolehi setelah
dilengkapkan puasa Ramadhan dan disambung dengan puasa Syawal.
Imam al-Nawawi di dalam kitab Syarah Sahih Muslim ada menyebut kewajaran pahala diberikan seumpama puasa setahun kepada mereka yang berpuasa 6 Syawal. Merujuk kepada satu hadith Rasulullah s.a.w. yang bermaksud “Setiap satu amalan kebajikan itu digandakan pahalanya sebanyak 10 kali ganda”.
Ini bermakna bahawa puasa sehari dalam bulan Ramadhan samalah seperti
puasa sepuluh kali, dan jika sebulan Ramadhan itu gandaan pahalanya
seumpama puasa 10 bulan kerana ianya adalah sepuluh kali ganda. Manakala
puasa sehari bulan Syawal seumpama 10 kali puasa dan 6 hari menyamai 60
hari iaitu 2 bulan. Maka jika ditambah 10 bulan dengan 2 bulan samalah
seperti puasa setahun.
Apakah hukumnya jika seseorang itu berniat untuk qadha
puasanya dan dibuat 6 hari dalam Syawal adakah akan mendapat pahala
puasa 6 Syawal?
Syeikh al-Marhum Atiyyah Saqar (salah seorang ulama terkenal al-Azhar) di dalam kitab himpunan fatwanya ada menyebut bahawa hukumnya dibolehkan kepada seseorang untuk qadha puasanya dan ditunaikan 6 hari dalam bulan Syawal dengan niat qadha, maka terhasillah baginya pahala qadha dan pahala puasa 6 Syawal. Tetapi yang lebih afdhal ialah diasingkan antara puasa qadha dan puasa 6 Syawal kerana puasa qadha itu hukumnya wajib dan puasa Syawal itu hukumnya sunat, maka adalah lebih baik tidak disatukan niat kerana antara yang sunat dan wajib itu tidak boleh disatukan.
Para ulama mazhab Syafie menyebut bahawa pahala puasa 6 Syawal itu
akan terhasil juga apabila seseorang itu melakukan puasa qadha selama 6
hari walaupun niatnya adalah qadha dan bukan niat puasa 6 Syawal, tetapi
pahalanyanya untuk puasa 6 Syawal itu kurang sedikit. Ini menurut
kata-kata Imam al-saya’rawi “Jika seseorang itu berpuasa di dalam bulan
Syawal sebagai qadha daripada puasa Ramadhan atau puasa nazar atau
lain-lain puasa sunat, maka akan diperolehi pahala sunat Syawal itu
kerana terlaksananya puasa 6 hari dalam bulan Syawal tetapi kesempurnaan
pahala tidak diperolehi sepenuhnnya melainkan jika diniatkan untuk
puasa sunat 6 hari bulan Syawal”.
Sebagai kesimpulannya, adalah terlebih baik jika puasa sunat 6 Syawal
dibuat berasingan dengan puasa lain sama ada qadha, nazar, kaffarah
ataupun puasa sunat yang lain. Selesaikan dahulu 6 hari puasa qadha dan
ditambah kemudiannya dengan niat puasa 6 Syawal. Ini akan lebih
menyeragamkan amal ibadat yang dilakukan agar tidak bercampur aduk
antara satu sama lain.
Antara hikmat disyariatkan puasa 6 hari bulan Syawal ialah sebagai
satu latihan kepada orang-orang Islam bahawa amal ibadat itu bukan
terletak pada bulan-bulan tertentu seperti Ramadhan bahkan amalan itu
perlu konsisten untuk sepanjang kehidupan manusia.
Ia juga sebagai satu cabaran kepada orang-orang Islam supaya tidak
menjadikan Syawal itu bulan bergembira semata-mata dan jika puasa itu
dilakukan seawal mungkin di permulaan Syawal, ini akan menjadikan
seseorang manusia itu benar-benar ingin menyahut seruan dari Allah untuk
terus beribadat secara istiqamah dan berpanjangan.
Sumber link : http://www.ukhwah.com/article.php?sid=2627
Nota:
Niat merupakan azam untuk melakukan sesuatu ibadat, dan letaknya di
hati. Jika anda berazam ingin melakukan puasa 6 atau qadha’ puasa
sebelum menjelang fajar, maka itulah yang dikatakan niat. Ini sudah
memadai dan tidak perlu melakukan lafaz niat. Jika mahu berniat puasa 6
syawal : “sahaja aku puasa sunat bulan syawal kerana Allah swt “.
link : encik akal.com
link : encik akal.com
No comments:
Post a Comment