Pages

Tuesday, April 27, 2010

Ingat Allah adalah hiburan bagi golongan yang beriman


MANUSIA sukakan hiburan. Malah, ada ketikanya hiburan menjadi suatu keperluan bagi sesetengah orang seperti makanan dan minuman. Alasannya, hiburan boleh mendatangkan ketenangan, mengurangkan tekanan dan menyegarkan emosi.

Benar, ketegangan dan kegersangan emosi boleh menyebabkan seseorang itu jadi pemarah, perengus, tertekan dan resah. Menyuburkan emosi memang penting kerana dari situ akan timbul sikap kasih sayang, prihatin dan peka pada persekitaran sekeliling. Tetapi apabila disebut hiburan bukanlah semata-mata yang mungkin difahami anak remaja kini iaitu nyanyian, konsert, pesta, karaoke, kelab malam atau berpeleseran saja. Malah, melihat keindahan alam, melancong, ekspedisi dan berkelah juga hiburan.

Ada tiga kategori hiburan:

i- Bagi seorang mukmin ialah iman, amal ibadat, wirid dan zikir atau apa saja perbuatan yang membawa pahala daripada Allah adalah hiburan.

Ini kerana hasil daripada itu adalah ketenangan dan ketenteraman. Jiwa yang sentiasa hidup dan segar. Emosi pula terkawal.

Perkara inilah yang dimaksudkan Allah dalam al-Quran iaitu firman-Nya bermaksud: "Ingatlah hanya dengan mengingati Allah hati jadi tenang."


ii- Hiburan kategori kedua iaitu apa saja cara yang dapat menghilangkan keresahan dan kerunsingan yang tidak bertentangan dengan syariat serta akidah.

Malah, jika dihayati hiburan jenis ini dapat dijadikan cara untuk mendekatkan diri pada Allah. Umpamanya, jika berkelah atau berekspedisi di samping dapat menghilangkan bosan dapat juga merasai kehebatan ciptaan Allah, meresap di jiwa lalu timbul rasa gerun kepada-Nya.

iii- Hiburan kategori ketiga paling popular terutama muda-mudi. Konsert artis, nyanyian yang lalai, pesta, kelab malam dan berpasangan adalah menjadi hambatan hidup remaja kini.

Hiburan ini bukan saja tidak bersifat menyembuhkan, malah umpama penagihan dadah. Memang seronok, ibarat gula-gula, manis dan sedap tetapi tidak mengenyangkan. Keseronokan itu bukan bererti kebahagiaan atau ketenangan. Malah, beransur-ansur membawa akibat buruk dan negatif pada jangka masa panjang.

Hiburan kategori ini mendatangkan kesan buruk pada hati yang tidak dapat dikesan. Hati menjadi keras, gelap, lalu terdinding daripada mendapat kelazatan mengingati Allah, malah sukar untuk menerima kebenaran.

Justeru, orang yang mendapat hiburan hakiki (sebenar) umpama mendapat hidangan dan makanan lazat lagi enak, tidak perlu lagi pada gula-gula yang tidak berkhasiat.

Selalunya hanya kanak-kanak yang amat gemar pada gula-gula, manakala golongan dewasa tidak kerana mereka lebih mengutamakan makanan mengenyangkan.

Anugerah Sukan Negara 2009

KUALA LUMPUR – Kejayaan merangkul pingat perak Kejohanan Trek Dunia Dunia melayakkan jaguh lumba basikal negara, Azizulhasni Awang dinobatkan sebagai Olahragawan Kebangsaan 2009.

Namun, tumpuan peminat sukan tanah air pada Anugerah Sukan Negara, semalam turut terarah kepada kehebatan ratu skuasy, Datuk Nicol David mendominasi gelaran Olahragawati Kebangsaan buat kali kelima berturut-turut sejak memenanginya pada 2005.

Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin berkenan menyampaikan anugerah tersebut.

Nicol diwakili oleh Presiden Persatuan Raket Skuasy Malaysia, Datuk A. Sani Karim.

Turut mencemar duli ke majlis tersebut ialah Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah, Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah dan dihadiri Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek dan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Zolkples Embong.

Bagi Azizulhasni, 22, yang terkenal dengan jolokan The Pocketrocketman, kejayaan muncul pelumba Malaysia pertama memenangi pingat pada Kejohanan Trek Basikal Dunia di Poland menjadi kekuatan untuk membawa pulang anugerah buat kali pertama.

Biarpun sekadar meraih perak, kejayaan dalam acara pecut di Pruszkow itu tetap pencapaian yang amat bermakna kerana lumba basikal merupakan sukan yang sangat kompetitif, di mana saiz badan turut memainkan peranan.

Azizulhasni dengan tubuh yang kecil mampu memberi saingan hebat kepada lawan yang jauh lebih sasa, terutama dari Eropah, sekali gus layak diangkat sebagai ikon sukan kerana semangat dan keberaniannya.

Selain meraih perak Kejohanan Dunia, penuntut University Deakin Australia itu turut menjuarai pusingan kedua Piala Dunia Klasik dan juara pecut Grand Prix Medellin di Colombia.

Unit Hal Ehwal Islam mengucapkan tahniah kepada Azizulhasni Awang dan Datuk Nicol David diatas Anugerah Sukan Negara.

KAMUS ARAB