Pages

Thursday, March 11, 2010

Syeikh Mohamed Sayed Tantawi meninggal dunia





KUALA LUMPUR, 10 Mac — Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menyampaikan ucapan takziah di atas pulangnya ke rahmatullah Syeikh Al-Azhar Syeikh Dr Mohamed Sayed Tantawi akibat serangan jantung semasa melakukan lawatan ke Arab Saudi hari ini.

Laporan agensi berita Al-Jazeera melaporkan Tantawi, 82, meninggal dunia di Riyadh, ibu negara Arab Saudi selepas mengalami serangan sakit jantung.

Tantawi banyak memberi sumbangan kepada dunia intelektual Islam dengan menghasilkan buku-buku agama, termasuk 15 jilid kitab tafsir al-Quran.

Beliau dilantik menjadi Sheikh Al-Azhar sejak 1996 di Universiti Al-Azhar iaitu pusat pengajian sunnah yang tersohor di dunia Islam.

Ketua Pengarah Jakim Datuk Wan Mohamad Datuk Sheikh Abdul Aziz berkata kematian Allahyarham sebagai satu kehilangan besar kepada dunia Islam dan ketamadunan kerana Allahyarham merupakan seorang tokoh ulama bertaraf antarabangsa.



“Allahyarham telah banyak memberi sumbangan dalam dunia keilmuan. Jakim khususnya selama ini banyak merujuk kepada pandangan dan pendapat Allahyarham di dalam perkara-perkara berkaitan penyelidikan Islam khususnya bidang kefatwaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata Allahyarham banyak menabur jasa dan sumbangan dalam membantu Malaysia di dalam pendidikan dengan memberi ruang dan peluang pendidikan kepada para pelajar Malaysia yang melanjutkan pelajaran di Universiti Al-Azhar.

“Jakim mendapat berita sedih ini melalui pegawai Jakim yang bertugas sebagai Atase Agama di Kedutaan Besar Malaysia di Kaherah, Abdullah Mat yang memaklumkan Allahyarham kembali ke rahmatullah ketika berada di Riyadh, Arab Saudi atas jemputan kerajaan Arab Saudi untuk menerima anugerah Al-Malik Faisal Antarabangsa,” katanya. — Bernama

1 comment:

Mohammad Hasnol Bin Haji Abu Bakar said...

setiapa yang dtg pasti pergi, ini time dia kelak time kiat pula..bersediakah!

KAMUS ARAB